Selasa, 25 September 2012


PRO FORMA RANGKA SUBJEK HIFZ AL-QURAN PRA TAHFIZ
(SUKATAN PEMBELAJARAN HAFAZAN QURAN PRA TAHFIZ)

Objektif Kursus:
-         Membantu pelajar meningkatkan kemahiran bacaan al-Quran.
-        Membantu pelajar menguasai hafazan al-Quran bagi surah-surah dalam juzu’ amma dan surah pilihan.

Sinopsis Kandungan Kursus
-          Kursus ini bertujuan untuk mendedahkan teknik membaca dan menghafal al-Quran

Kaedah Pengajaran
-          Tasmi’ dan Talaqqi
-          Hafazan secara jamaah
-     Ulangan Hafazan

Kaedah Penilaian
-          Ujian penilaian hafazan akan dilakukan pada pertengahan dan hujung tahun secara syafawi (Lisan)

Sukatan Pengajian atau hafazan Penggal pertama
MINGGU
SUKATAN HAFAZAN
CATATAN
1
Al-Fatihah, An-Nas

2
Al-Falaq, al-Ikhlas 

3
Al-Masad 

4
An-Nasr

5
Al-Kafirun

6
Al-Kauthar, Al-Maun(1-2) 

7
Al-Maun(3-7) 

8
Al-Quraish

9
Al-Fiil

10
Al-Humazah

11
Al-Asr

12
At-Takathur

13
Al-Qariah

14
Al-Adiyaat

15
Al-Zalzalah

16
Al-Baiyinah (1-4)

17
Al-Baiyinah (5-6)

18
Al-Baiyinah (7-8)

19
Al-Qadr


Sukatan Pengajian atau hafazan Penggal Kedua
MINGGU
SUKATAN HAFAZAN
CATATAN
1
Al-Alaq (1-10)

2
Al-Alaq (11-19) 

3
At-Tiin  

4
As-Sarh

5
Ad-Dhuha

6
Al-Lail (1-11) 

7
Al-Lail (12-21) 

8
As-Shamsi (1-10)

9
As-Shamsi (11-15)

10
Al-Balad (1-10)

11
Al-Balad (11-20)

12
Al-Fajri (1-10)

13
Al-Fajri (11-16)

14
Al-Fajri (17-22)

15
Al-Fajri (23-30)

16
Al-Ghasiah (1-10)

17
Al-Ghasiah (11-20)

18
Al-Ghasiah (21-26)

19
Al-A’la (1-10)

20
Al-A’la (11-19)



Isnin, 17 September 2012


Tajuk : Hala Tuju Tahfiz al-Quran
Oleh: Us Shahrulkarnain Mohamad Nazir

1               1. PENGENALAN
                                                                                                         
1.1  Al-Quran merupakan panduan terpenting di dalam kehidupan umat Islam. Tiada siapa yang berani menafikan peranan Al-Quran sebagai rujukan utama dalam segala bidang ilmu lebih 1400 tahun lalu. Al-Quran adalah amat penting di dalam diri masyarakat Islam yang mampu membina masyarakat yang bertakwa, masyarakat yang adil berasaskan kasih sayang, belas kasihan, persaudaraan dan masyarakat yang bertolak ansur, bertanggungjawab dan masyarakat yang berjalan mengikut garis panduan al-Quran.

1.2  Matlamat terpenting pendidikan al-Quran ialah mendidik manusia supaya mengabdikan diri kepada Allah S.W.T.  Dalam masyarakat yang dilanda arus globalisasi, pembelajaran al-Quran terutama secara hafazan mampu menjadi pemangkin ke arah melahirkan generasi yang hafiz, alim, da’i dan professional sekaligus memenuhi matlamat pendidikan al-Quran.


1.3  Dewasa ini, masyarakat semakin sedar tentang kepentingan menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran agama. Di tambah pula dengan kewujudan           sekolah-sekolah agama sekarang yang sudah mempunyai kelas aliran sains dan mampu menarik minat para ibu-bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama. Usaha kerajaan sendiri yang mewujudkan sekolah-sekolah agama integrasi menyemarakkan lagi para pelajar untuk  mendalami ilmu agama dan sains sekaligus.

1.4  Institusi tahfiz juga tidak dapat lari daripada perkembangan yang memberangsangkan sejak sedekad yang lalu. Maahad-maahad tahfiz semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat yang mahu membentuk dan menyuburkan generasi cinta al-Quran.

       2.      FALSAFAH PENDIDIKAN

             2.1 Falsafah Pendidikan Negara

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

2.2 Falsafah Pendidikan Islam

Suatu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah SWT yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.”




2.3 Falsafah Pendidikan JAIS

"Suatu usaha berterusan ke arah membina potensi individu berilmu, beriman, beramal, berakhlak mulia dan berketerampilan secara seimbang dan sepadu berlandaskan Wahyu Allah dan Sunnah Rasulullah bagi melahirkan masyarakat muslim yang bertaqwa, maju , mampu bersaing untuk mendapat kesejahteraan di dunia dan kebahagian di akhirat "

                              3. MATLAMAT PENDIDIKAN ISLAM

3.1  Pendidikan Islam ialah pendidikan yang bersumberkan al-Quran dan hadis. Oleh itu, matlamat pendidikan tersebut hendaklah disesuaikan dengan kedua-dua sumber tersebut. Beberapa tokoh pendidik di bawah memberikan pendapat masing-masing mengenai matlamat pendidikan:

1.      Mohd Attiah al-Ibrashi (1969) menyatakan bahawa Matlamat Pendidikan Islam ialah:
              التقرب الى الله دون الرياسة والمباهات والمنافسة
“Bertaqarrub kepada Allah bukan untuk menjadi pemimpin bermegah-megah   
  dan berlumba-lumba”

2.      Ibn Khaldun menjelaskan matlamat pendidikan ialah:
كانت التربية الاسلامية تستهدف غرضين الغرض الديني ويقصد به العملي الدنيوي وهو ما تعتبر عنه التربية  الحديثة بالغرض النفعي العمل للأخرة حتى يلقى العبد ربه وقد أدى ما عليه من حقوق والغرض او الاعداد للحياة
“ Sebenarnya Pendidikan Islam mempunyai dua tujuan iaitu tujuan keagamaan, maksudnya beramal untuk akhirat sehingga seseorang itu menemui Tuhannya setelah selesai menunaikan hak-hak Allah yang diwajibkan ke atasnya. Kedua, tujuan ilmiah yang bersifat keduniaan iaitu apa yang diungkapkan oleh pendidikan moden dengfan tujuan kemanfaatan atau persediaan untuk hidup”.

3.    Abdul Qadir Ahmad (1980) menyatakan bahawa Matlamat Pendidikan Islam adalah untuk melahirkan individu yang soleh dalam kehidupan bermasyarakat dan dalam kehidupan di dunia untuk melahirkan individu  yang beramal dengan amalan-amalan Islam supaya mencapai kebahagiaan di akhirat.

4. PERKEMBANGAN MAAHAD TAHFIZ DI MALAYSIA DAN NEGERI SELANGOR

4.1  Sejarah dan Perkembangan Tahfiz al-Quran di Malaysia

4.1.1        Maahad Tahfiz al-Quran telah ditubuhkan pada tahun 1966 atas saranan Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tuanku Abdul Rahman Putra al-Haj dan beroperasi di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

4.1.2        Pada tahun 1997 Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat telah dinaikkan taraf sebagai salah satu bahagian di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan diberi nama Darul Quran.

4.1.3        Pada 1 November 1998, Darul Quran ditempatkan ke kampus tetap di Kompleks Darul Quran di Ampang Pecah Kuala Kubu Bharu, Selangor.

4.1.4        Idea penubuhan maahad tahfiz sebenarnya telah tercetus hasil daripada Ujian Tilawatul Quran peringkat kebangsaan yang pertama pada tahun  1960 di mana pada waktu itu dihadiri oleh Syeikhul al-Azhar, Syeikh Mahmud Syaltut.

4.1.5        Bagi memastikan pelaksanaan kelas pengajian Kursus Menghafaz al-Quran berjalan lancar Tuanku Abdul Rahman menghubungi setiap kerajaan negeri untuk menghantar calon untuk mengikuti kelas tersebut. Antara negeri yang menghantar wakil adalah: Terengganu, Selangor, Kedah, Perlis, Perak, Pahang, dan Negeri Sembilan.

4.1.6   Selepas Maahad Tahfiz Masjid Negara, beberapa maahad tahfiz negeri telah mula dibuka. Ia bermula pada tahun 1979 di Kelantan, diikuti Terengganu, Perak, Kedah, Perlis dan Selangor pada tahun 1980. Seterusnya pada awal 1990-an Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Sabah pula menubuhkan maahad tahfiz. Kebanyakan maahad tahfiz negeri mengguna pakai kurikulum Darul Quran sehingga ke hari ini.

4.1.7   Perkembangan tahfiz di Malaysia dirancakkan lagi dengan penubuhan sekolah-sekolah tahfiz di negeri-negeri.

4.1.8   Kerajaan negeri (Jabatan Agama Islam/ Yayasan Negeri) telah menubuhkan sekolah menengah tahfiz di negeri masing-masing

4.1.9   Beberapa buah negeri seperti negeri Selangor,  Kelantan dan Terengganu telah mempunyai Sekolah Menengah Tahfiz Sains.

4.1.10              Begitu juga dengan kewujudan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menawarkan program tahfiz dan sains di MRSM Kota Putera, Besut, Terengganu dan MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan.

4.1.11              Pihak swasta turut menawarkan pendidikan tahfiz sama ada diperingkat sekolah rendah, menengah dan peringkat institusi.

4.1.12              Pendidikan tahfiz yang dikendalikan oleh pihak swasta terbahagi kepada integrasi (tahfiz dan akademik) dan tahfiz sepenuhnya (tahfiz sahaja).

4.1.13              Manakala di peringkat pengajian tinggi, selain daripada Darul Quran JAKIM terdapat juga Institusi Pengajian Tinggi yang menawarkan program Tahfiz di peringkat Diploma seperti Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Universiti Insaniah.


4.2  Perkembangan Pengajian Tahfiz di Selangor.

4.2.1        Markaz Tahfiz al-Quran dan Qiraat Negeri Selangor yang ditubuhkan pada 16hb. April 1990 beroperasi di bahagian bawah Masjid Sultan Solahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), dan dikenali sebagai Markaz Tahfiz (MARTAH) Lilbanin.
4.2.2        Martah Lilbanat kemudiannya ditubuhkan pada tahun 1996 di Kampung Bukit Naga Shah Alam di mana kedua-keduanya telah digabungkan dan diberi nama sebagai Maahad Tahfiz Istana Alauddin Bandar Jugra (MATISDAR)

4.2.3        MATISDAR ditubuhkan rentetan daripada kehendak dan titah al-Marhum Sultan Solahuddun Abdul Aziz Shah yang inginkan negeri Selangor mempunyai insitusi pengajian al-Qurannya sendiri.

4.2.4        MATISDAR telah ditutup secara rasmi pada Mei 2005 dan diserahkan kepada Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). Setelah hampir 2 tahun penyerahannya, pihak JAIS telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan sebuah pusat pengajian yang berorientasikan al-Quran dan Sains yang dikenali sebagai Maahad Integrasi Istana Bandar (MITIB) dan beropeasi sepenuhnya pada  28 Januari 2008.

5 .      HALA TUJU TAHFIZ AL-QURAN DAN PERKEMBANGANNYA

5.1  Tahfiz Konvensional
    Kewujudan Maahad Tahfiz di Malaysia bermula sekian lama melalui peng ajian-pengajian yang berorientasikan agama semata-mata. Sehingga kini Maahad-maahad tahfiz sebegini wujud dengan subur di Malaysia dan memainkan peranan yang sangat penting untuk melahirkan golongan ulama yang menguasai bidang-bidang agama.
    Kebanyakan maahad-maahad ini hanya menawarkan pengajian tahfiz dan pengajian agama seperti Tafsir, hadis, Fiqh dan lain-lain. Maahad ini tidak menawarkan pengajian akademik kerana ini memberikan tumpuan pelajar terhadap pengajian tahfiz dan agama. Contohnya Maahad Tahfiz Kubang Bujuk, Maahad Tahfiz Sungai Badak dan lain-lain.

5.2  Tahfiz Akademik
   Di era 80&90-an, ibu bapa memberi penekanan kepada anak-anak untuk menguasai bidang-bidang akademik sekaligus ibu bapa lebih cenderung menghantar anak-anak ke Sekolah kelolaan kerajaan berbanding sekolah-sekolah agama.
    
    Sehubungan itu lahirlah Sekolah-sekolah agama yang menawarkan pengajian akademik kepada para pelajar. Begitu juga dengan Maahad-maahad Tahfiz seperti Maahad Tahfiz Pulai Condong Kelantan, Kolej Tahfiz Klang, ITQAN Negeri Sembilan dan Maahad-maahad Tahfiz swasta yang lain yang menawarkan pengajian akademik untuk memberi lebih peluang kepada para pelajar untuk mengambil peperiksaan-peperiksaan awam seperti PMR dan SPM.


5.3  Tahfiz Integrasi Sains
  Dengan ledakan teknologi yang pesat pada hari ini, bidang pendidikan tahfiz juga mengalami evolusi tersendiri apabila lahirnya maahad-maahad Tahfiz Integrasi Sains yang menjadi pilihan utama ibu bapa masakini. Antaranya IMTIYAZ, Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Maahad Integrasi Istana Bandar (MITIB) dan lain-lain.
   Pelajar-pelajar di sekolah ini menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang sehingga membuka mata banyak pihak untuk melihat keupayaan penghafaz al-Quran.

5.4  Institusi Pengajian Tinggi Tahfiz
     IPT Tahfiz sebenarnya telah bermula sejak penubuhan Darul Quran JAKIM lagi pada tahun 1966. Di peringkat awal, Darul Quran yang ketika itu dikenali sebagai Kelas Tahfiz Masjid Negara hanya menawarkan program Sijil sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang Qiraat di Maahad Qiraat al-Azhar di Mesir. Pada peringkat awalnya hanya lapan orang pelajar sahaja yang mengikuti Kelas Tahfiz ini. Antaranya Tan Sri Sheikh Ismail bin Muhamad, Imam Besar Masjid Negara, Dato’ Abu Hasan Din, bekas Pegawai Agama Istana Negara, Dato’ Salahuddin Omar, bekas Pengetua Darul Quran dan Maahad Tahfiz Kerajaan Brunei dan lain-lain.
     Namun, pada 16 April 1983 kelayakan sijil Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat telah diberi pengiktirafan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam setaraf dengan Diploma Institut Teknologi MARA  (sekarang UiTM) bagi membolehkan pemegang sijil tersebut menjawat jawatan dalam Perkhidmatan Awam .
    Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat Darul Quran JAKIM juga diiktiraf oleh universiti-universiti tempatan dan luar negara untuk mengikuti pengajian di universiti berkenaan. Antara institusi tersebut ialah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Negeri Sultan Syariff Kasim Riau, Indonesia dan Universiti Al-Azhar, Mesir.
   
    Kini Darul Quran telah menawarkan lima program di peringkat Diploma Tahfiz al-Quran iaitu:
-          Diploma Tahfiz al-Quran syukbah Qiraat
-          Diploma Tahfiz al-Quran syukbah Dakwah
-          Diploma Tahfiz al-Quran syukbah Syariah
-          Diploma Tahfiz al-Quran syukbah Hadis
-          Diploma Tahfiz al-Quran syukbah Muamalat
     
     Selain itu, Darul Quran juga berperanan membantu Maahad Tahfiz al-Quran Negeri (MTQN) dalam pelaksanaan aktiviti akademik dengan membuka rung kepada MTQN untuk melaksanakan program bersama bagi program Diploma dengan Darul Quran. Walaubagaimanapun ia tertakluk dengan kelulusan pihak Lembaga Darul Quran yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM. Sehingga kini terdapat 10 MTQN yang bernaung di bawah Darul Quran bagi melaksanakan program Diploma.
     
     Darul Quran JAKIM juga turut mencipta sejarah dalam melahirkan golongan huffaz yang professional apabila mengadakan kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk merealisasikan Program Persijilan Tahfiz al-Quran. Program ini ditawarkan kepada pelajar lulusan SPM yang mendapat keputusan cemerlang untuk ditempatkan di Darul Quran. Pelajar-pelajar ini akan melalui tempoh pengajian selama 18 bulan di Darul Quran. Selepas tamat pengajian mereka akan terus ditempatkan di Pusat Asasi UIAM dalam bidang profesional seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan,   senibina, ekonomi dan sains pengurusan.

     Darul Quran terus mengorak langkah untuk memperkasakan bidang tahfiz al-Quran dengan melaksanakan program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dengan Kepujian. Program yang diadakan dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini adalah hasil daripada perbincangan di Mesyuarat Lembaga Darul Quran yang diadakan pada 15 Julai 2006. Jangka masa pengajian bagi program ini adalah 3 tahun dan kini terdapat 50 orang pelajar yang mengikuti program ini.
    
    Selain daripada Darul Quran dan Maahad Tahfiz Negeri, terdapat beberapa IPT yang menawarkan pengajian tahfiz. Antaranya KUIS dan KUIN.


6.      KESIMPULAN
     
      Sehingga kini, Pengajian Tahfiz al-Quran di Malaysia mengalami evolusi dan perkembangannya yang tersendiri. Daripada sebuah Maahad Tahfiz yang berorientasikan pendidikan agama semata-mata kepada Maahad Tahfiz integrasi dengan sains.

    Perkembangan ini membawa kepada perubahan dan penambahbaikan hala tuju Maahad-maahad tahfiz serta individu yang mendukung sistem ini.

     Para guru tahfiz terutamanya perlu memahami hala tuju Institusi dan pelajar tahfiz masa kini agar hasrat untuk memperkasakan Institusi Tahfiz dapat dilaksanakan.